Awasi Lidah Daripada Membuat Fitnah

01-Aug-2003 17:11
Oleh
KupuKupu

Lidah adalah salah satu anggota manusia yang penting dan sangat berguna. Selain daripada untuk merasa makanan dan minuman lidah juga berperanan untuk seseorang itu berkata-kata. Tanpa lidah adalah mustahil untuk manusia berkata-kata. Lidah perlu diawasi kerana di samping ianya memberi kebaikan, tidak kurang juga boleh mendatangkan keburukan dan musibah kepada masyarakat. Kata-kata dan nasihat yang baik akan membawa manusia kepada kebaikan dan keharmonian. Manakala itu melalui lidah juga akan terungkap perkatan-perkataan yang boleh membawa mudarat kepada manusia seperti mengumpat, mencaci, menfitnah, berkata lucah dan kotor, berbohong dan sebagainya. Tutur kata yang sebegini bukan sahaja boleh menyakiti seseorang malah boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat. Justeru itu perkataan yang diungkapkan dari lidah yang tidak bertulang harus ditapis sebelum sampai kepada orang lain. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud; ‘Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah di mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam.’ Ini membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain. Kalau tidak dapat memberi sesuatu yang membawa kebaikan maka adalah lebih baik berdiam diri sahaja.

Sebagai seorang muslim, percakapan yang tidak membawa manfaat adalah sia-sia dan boleh membawa dosa. Kita perlu menyedari bahawa setiap perkataan yang diucapkan semuanya dicatatkan oleh malaikat dalam buku amalan kita. Firman Allah S.W.T di dalam surah Qaaf ayat 18 yang bermaksud, "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)". Seharusnya kita meninggalkan daripada mengamalkan dan mengungkapkan perkataan-perkataan yang kotor, caci-maki dan sebagainya. Walaupun sebahagian besar daripada kita mengetahui akan perkara ini, namun masih ramai yang tidak menghayatinya di dalam kehidupan sehari-harian. Banyak sekali intipati firman Allah SWT dan sabda Nabi yang secara langsung memberi peringatan kepada manusia kesan daripada kata-kata yang terlepas.

Perpecahan dan perbalahan yang berlaku di dalam masyarakat Islam di antaranya adalah berpunca daripada ucapan dan kata-kata yang berbentuk fitnah. Ini kerana orang yang terfitnah akan mempertahankan diri mereka dan apabila sampai pada tahap di mana kesabaran dan kewarasan akal telah mula hilang, ianya akan menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Sesungguhnya dari mana datangnya fitnah atau mengumpat, kalau bukan dari kata-kata yang dilafazkan oleh lidah.

Oleh yang demikian, perlulah kita sentiasa beringat bahawa setiap perkataan yang diucapkan, semuanya tertulis dan akan dipertanggungjawabkan. Sebab itu, kalau tidak mampu untuk mengucapkan perkataan yang baik maka lebih baik diam dan tidak berkata. Dengan memelihara lidah, manusia akan selamat di dunia dan di akhirat.

"Siapalah aku di sisi MU ya Allah"

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my