Terkini  Popular    Mula Topik

Al-quran Menundukan Pencabarnya

2012-05-02 13:40:39
Mukjizat merupakan sesuatu perkara

yang menyalahi apa yang biasanya berlaku, ampuh daripada sebarang

cabaran pencabarnya dan ia merupakan anugerah Allah kepada

rasul-rasulNya di dalam membuktikan kebenaran kepada kenabian dan

kerasulan mereka.



Al-Quran merupakan mukjizat paling besar kepada nabi Muhammad S.A.W dan

berkekalan sehingga hari qiamat.Jika kita merujuk kepada beberapa buah

kitab samaada yang turasi(tua) ataupun mua’sarah(terkini), kita akan

dapati bagaimana muallif kitab itu membincangkan bagaimana Al-Quran

melemahkan mereka yang telah, sedang dan akan mencabarnya melalui

beberapa kriteria yang tertentu. Di sini akan disentuh secara ringkas

kriteria-kriteria berikut untuk maklumat kita bersama.



I’jaz bayani (susunan dan kehalusan bahasa)

Kriteria ini merupakan kriteria yang utama daripada yang lain kerana

pengutusan nabi Muhammad S.A.W ditengah-tengah masyarakat arab yang

tinggi bahasanya dari sudut balaghah, fasohah dan kehalusan bahasa arab.

Jika difikirkan bagaimana Rasulullah S.A.W mampu menulis Al-Quran

sebagaimana yang didakwa oleh musyrikin sedangkan dia seorang yang buta

huruf dan tidak pernah belajar daripada intelek arab pada masa itu. Ini

menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran itu merupakan mukjizat bukannya

hasil penulisan Rasululllah S.A.W sendiri. Ramai generasi sekarang

kurang merasai kehalusan dan kesenian serta kelebihan Al-Quran dari

sudut bayani kerana bahasa arab sekarang dimasuki unsur-unsur luar.

Al-Quran telah menjadi rujukan utama ulama’ lughah di dalam mengetahui

kaedah nahu, balaghah dan sebagainya. Kita sebagai seorang muslim

hendaklah mendalami ilmu tersebut kerana ia akan menimbulkan kesan yang

mendalam dilubuk hati kita apabila melihat susunan, kehalusan, kesenian,

balaghah dan fasohah lughah Al-Quran yang tiada tandingannya. Bagaimana

seseorang itu hendak merasai keindahan Al-Quran dari sudut bayani

melainkan dia tahu dan faham dengan ilughah arabiah. Al-Quran telah

mencabar pencabarnya pada lima tempat iaitu:



1. Ayat 23-24 surah al-Baqarah yang bermaksud : Dan kamu tetap

dalam keraguan berkenaan al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami

Muhammad S.A.W, buatlah satu surah sahaja seumpama al-Quran dan ajaklah

pembantu-pembantu selain Allah jika kamu orang-orang yang benar.



2. Ayat 37-39 surah Yunus yang bermaksud : Tidak mungkin al-Quran

itu dibuat oleh mereka selain Allah,akan tetapi al-Quran itu telah

membenarkan kitab-kitab sebelumnya dan menjelaskan hukum-hukum yang

telah ditetapkannya.Tiada keraguan padanya,diturunkan dari Tuhan semesta

alam. Atau patutkah mereka mengatakan : ”Muhammad telah membuatnya”.

Katakanlah:”Jika benar apa yang kamu dakwa itu maka cuba datangkan satu

surah seumpamanya dan ajaklah sesiapa yang yang dapat kamu panggil untuk

membuatnya selain allah jika kamu orang-orang yang benar.



3. Ayat 12-14 surah Hud yang bermaksud : Maka kemungkinankamu

hendak meninggal sebahagian daripada apa yang diwahyukan kepadamu dan

kerananya dadamu terasa sempit, disebabkan resah mereka mengatakan : ”

Mengapa tidak diturunkan padanya perbendaharaan atau datang bersamanya

seorang malaikat?”. Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi

peringatan dan Allah Maha pemelihara segala sesuatu. Bahkan mereka

mengatakan : ” Muhammad telah membuat al-Quran itu”. Katakanlah :” Jika

demekian maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat seumpamanya dan

serulah orang-orang yang kamu sanggup mengajaknya untuk bersamamu selain

Allah jikakamu orang-orang yang benar.



4. Ayat 86-88 surah al-Isra’ yang bermaksud : Dan sesungguhnya

jika kami menghendaki nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami

wahyukan kepadamu dan dengan dengan pelenyapan itu kamu tidak akan

mendapati seorang pembela pun terhadap Kami. Kecuali kerana rahmat dari

Tuhanmu. Sesungguhnya kurniaan ke atasmu adalah besar. Katakanlah : ”

Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat seumpama

al-Quran ini maka mereka tidak kan mampu untuk membuat seumpamanya

sekalipun sebahagian daripada mereka menjadi pembantu untuk sebahagian

yang lain.



5. Ayat 33-34 surah at-Tur yang bermaksud : Ataukah mereka

mengatakan : ” Dia iaitu Muhammad membuatnya”. Sebenarnya mereka tidak

beriman. Maka hendaklah mereka mendatangkan kalimah (satu ayat

lengkap)seumpama al-Quran itu jika mereka orang-orang yang benar.

Walaupun ada yang cuba menyahut cabaran ini tetapi mereka tidak mampu

seperti Musailamah al-Kazzab. Pada masa kini ada golongan orientalis

barat yang cuba menulis lima surah palsu tetapi apabila dikaji dari

sudut bahasa dan keseniannya agak tersasar jauh dari Al-Quran disamping

apa yang ditulis menunjukkan penafian adanya mukjizat pada hasil tulisan

mereka apabila dalam kebanyakan ayat, Rasulullah S.A.W telah menghina

diri sendiri sebagai pengkhianat dan orang gila sedangkan salah satu

syarat mukjizat ialah mesti mempertahankan rasul atau nabi yang

menunjukkan sesuatu mukjizatnya bukan menafikannya. Jika tidak fahami

lughah dan kesenian serta buta bahasa arab, kita tidak mungkin merasai

kepalsuannya. Sesungguhnya Allah tetap menjaga Al-Quran daripada

musuh-musuhnya. Imam Syafi’e telah berkata bahawa mereka yang pakar

dengan bahasa arab ini adalah jin manusia yang mana mereka nampak apa

yang orang lain tidak nampak. Ini membawa maksud bahawa jin mampu

melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh manusia biasa. Maka begitulah

juga dengan pakar bahasa arab mampu melihat pada nas atau petikan yang

mana orang biasa tidak dapat melihatnya. Ini kerana mereka melihat dari

sudut makna yang mana orang biasa tidak mampu melihatnya.



I’jaz ilmi

Kriteria ini menunjukkan kepada kita bagaimana Al-Quran telah melemahkan

pencabarnya dari sudut perbahasan ilmiah. Bagimana seorang rasul yang

tidak pernah belajar mengenai angkasa lepas serta kedoktoran

mampubercakap atau menulis mengenai perkara tersebut melainkan ia

merupakan mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah kepada baginda S.A.W.

Mengenai perjalanan matahari misalnya para ahli sains menyatakan bahawa

bumi mengelilingi matahari yang mana matahari berkedudukan tetap

sedangkan di dalam Al-Quran melalui ayat 38 surah Yasin, Allah berfirman

: Dan matahari bergerak di atas paksinya, Itu menunjukkan kekuasaan Allah Yang maha hebat dan bijaksana.

Al-Quran juga memberitahu kepada kita bagaimana kejadian janin manusia

di dalam perut ibunya melalui beberapa ayat seperti ayat 14 surah

al-Mukminun yang bermaksud : Kemudian air mani itu Kami jadikan

segumpal darah, lalu dari segumpal darah itu Kami jadikan segumpal

daging, lalu dari segumpal daging itu kami tulang belulang, lalu dari

tulang belulang itu Kami saluti dengan daging. Kemudian Kami jadikan ia

makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Suci Allah pencipta yang paling

baik. Begitu juga dengan proses hujan yang dinukilkan dalam Al-Quran melalui ayat 43 surah an-Nur yang bermaksud : Tidakkah

kamu memerhatikan bagaimana Allah mengarakkan awan kemudian

mengumpulkan antara bahagian-bahagiannya, kemudian menjadikannya

bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celahannya

dan Allah juga menurunkan butiran air dari langit iaitu dari gumpalan

awan seperti gunung-gunung maka dicurahkan air tadi kepada sesiapa yang

dikehendakiNya dan dipalingkan daripada sesiapa yang dikehendakiNya.

Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.

    

I’jaz tasyri’e (perundangan)

Kriteria ini membuktikan bagaimana Al-Quran membincangkan perundangan

rabbani yang adil dan sesuai dijalankan sepanjang masa. Tidak mungkin

seorang nabi yang diketahui buta huruf yang mana kebanyakan waktunya

dihabiskan dengan memelihara kambing dan berniaga mampu untuk menulis

perundangan yang sempurna ini melainkan ia merupakan mukjizat. Walaupun

telah ramai yang cuba mencipta dan menjalankan sistem perundangan dan

pemerintahan yang berdasarkan komusisme, sosialisme, sekularisme dan

ideologi yang lain tetapi semuanya menemui kegagalan kerana perundangan

Al-Quran tetap melemah dan menggagalkan pencabarnya. Antara perundangan

yang terkandung dalam Al-Quran ialah berkaitan dengan solat, puasa,

zakat, haji, pembahagian harta pusaka, kekeluargaan, hukum hudud, qisas,

pemilihan pemimpin dan sebagainya. Kita melihat bagaimana barat sendiri

mengakui perundangan Al-Quran adalah yang terbaik dan sempurna seperti

hukuman 100 rotan untuk penzina yang belum berkahwin merupakan

satu-satunya jalan untuk mengubati penyakit Aids(bala). Manakala bagi

mereka yang sudah berkahwin maka tiada jalan lagi kerana mereka memang

tiada peluang lagi untuk selamat daripada penyakit itu melainkan direjam

sehingga mati. Begitu juga Islam menjaga maruah seseorang daripada

di’aibkan walaupun dia bersalah selagi mana dia tidak dihukum melalui

hukum li’an, qazaf, zihar dan beberapa hukum yang lain.



Ini membawa kepada penjagaan maruah pesalah dan keluarganya dan

mengelakkan orang ramai daripada membuat tuduhan tanpa bukti dan saksi.



Kita juga pernah membaca bagaimana kerajaan Amerika Syarikat cuba

mengharamkan peminuman, pembelian, penjualan, pengeluaran dan pengedaran

arak pada tahun1930. Mereka mengemukakan pelbagai cara melalui

penyelidikan yang teliti dan perbahasan ilmiah mengenai bahayanya arak

untuk disebarkan kepada rakyat mengenainya. Media massa digunakan

sepenuhnya untuk menerangkan mengenai perkara ini yang mana tujuan ini

menelan belanja sebanyak US65 juta dan pencetakan sahaja meliputi US9

juta dan 4 juta lebih bagi tujuan pelaksanaan undang-undang ini. Menurut

laporan dari bahagian penyelidikan dan pengkajian menunjukkan kesan

pelaksanaannya antara Oktober 1933 telah menyebabkan 200 orang dihukum

bunuh, seramai setengah juta orang dipenjara dan rampasan kepada arak

mencapai angka US 1.5 juta serta denda yang dikenakan kerana kesalahan

ini berjumlah US400 juta. Akhirnya undang-undang ini terpaksa dibatalkan

pada akhir tahun 1933memandang mereka kehilangan banyak nyawa dan juga

denda yang dilakukan tidak mampu membendung masalah arak ini. Ini adalah

kerana undang-undang yang dicipta oleh tangan manusia tidak mampu

menimbulkan keinsafan dan juga tiadanya perhubungan antara duniawi dan

ukhrawi tidak sepertimana hukum Allah yang Maha Adil dan memberi kesan

kepada makhlukNya. Hukuman sebat sebanyak 80 rotan ke atas peminum arak

sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam mampu menginsafkan mereka yang

terlibat dan mampu pula untuk mencegah orang lain dari terjerumus dalam

kesalahan yang sama. Ia juga dilaksanakan dihadapan ramai bukannya di

bilik khas yang mana hanya pegawai yang bertugas dan pesalah sahaja yang

tahu azabnya seksaan yang dijatuhkan ke atasnya. Bilakah kita mampu

merasai keadilan hukum Allah? Ia adalah kewajipan kita bersama di dalam

melaksanakannya.



I’jaz tarikhi

Kriteria ini membuktikan kepada kita bagaimana Al-Quran membawa pelbagai

berita dan kisah  yang berkaitan dengan perkara yang silam, sekarang

dan akan datang. Di sini dibahagikan contoh kepada 3 bahagian

bersesuaian dengan apa yang telah, sedang dan akan berlaku.

    .

PERTAMA :

Al-Quran telah merakamkan bagaimana Firaun apabila hampir tenggelam

telah mengaku beriman kepada Allah tetapi taubatnya tidak diterima

melalui ayat 90-92 surah Yunus yang mana maksud Allah berfirman : Dan

Kami memungkinkan bani Israel menyeberangi laut laulu mereka diikuti

oleh Firaun dan bala tenteranya kerana mereka mahu menganiayai dan

menindas sehingga apabila Firaun hampir lemas berkatalah dia :” Aku

percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh bani

Israel dan aku termasuk oarang-orang yang berserah diri kepada Allah.

Adakah sekarang engkau baru percaya sedangkan sebelum ini engkau telah

mendustaiNya dan engaku termasuk dalam golongan mereka yang melakukan

kerosakan. Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu agar dapat menjadi

pengajaran kepada umat selepasmu dan sesungguhnya kebanyakan manusia

alpa dengan tanda kekuasan Kami. Ayat ini juga menerangkan

bagaimana tubuh Firaun tidak hancur ditelan ombak atau dimakan oleh ikan

tetapi sebaliknya jasadnya telah dibawa oleh ombak ke tepian pantai

untuk disaksikan oleh kaumnya bagaimana Firaun yang sebelum ini mengaku

tuhan telah mati lemas dan telah dibinasakan dengan cara yang hina.

Jasad ini dipercayai masih wujud bersama-sama mumia yang lain di muzium

Mesir melalui kajian beberapa orang pakar dari barat. Ini menunjukkan

kepada kita  mukjizat Al-Quran dan menafikan ia adalah tulisan nabi

S.A.W. Selain itu Al-Quran turut merakamkan tentang umat dan rasul serta

nabi sebelum baginda S.A.W untuk menjadi renungan bukannya sekadar

dibaca sahaja. Jika kita perhati dan baca dengan penuh pemerhatian maka

kita dapati cerita di dalam al-Quran ada yang hanya terdapat dalam satu

surah dan ada yang terdapat dalam beberapa surah yang lain. Allah juga

menceritakan perkara ini secara rambangnya jika kita teliti, cerita ini

putus-putus dan tidak secara penuh sebaliknya Allah menceritakannya pada

sesuatu keadaan yang penting dan boleh diambil pengajaran sahaja. Ini

membezakan al-Quran dengan buku sejarah atau buku cerita yang lain.

KEDUA :

Al-Quran telah menjelaskan kepada kita mengenai tentang sifat Allah,

malaikat, jin, syurga dan neraka serta keadaan alam barzakh dan

sebagainya untuk renungan kita bersama. Antara contoh yang kita akan

dapati ialah melalui penerangan serba sedikit mengenai keadaan di dalam

syurga melalui firmanNya dalam ayat 25 surah al-Baqarah yang bermaksud :

Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman dan berbuat

kebaikan bahawa mereka disediakan syurga yang mana mengalir air di

dalamnya. Setiap mereka akan dianugerahi buah-buahan syurga lalu mereka

menyatakan : inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu. Mereka

diberikan buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya

isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya. Ini

membuka mata kita bahawa jika ia merupakan tulisan manusia maka dia

tidak mungkin mampu menceritakan sifat syurga sebagaimana tersebut dalam

ayat ini.



KETIGA  :

Al-Quran telah memberitahu tentang kemenangan yang akan dicapai oleh

tentera Rom ke atas Parsi dalam tempoh beberapa tahun sebagaimana ayat

1-6 surah al-Rom yang bermaksud :

Alif Laam Miim. Telah dikalahkan kuasa Rom. Di negeri yang

terdekat dan mereka sesudah itu kan diberikan kemengan kembali. dalam

beberapa tahun lagi Bagi Allahlah segala urusan sebelum ini dan sesudah

mereka mencapai kemenangan. Dan pada hari kemenangan kuasa Rom itu

bergembiralah orang yang beriman. Kerana pertolongan Allah. Dia menolong

sesiapa yangdikehendakiNya. Janji yang sebenar-benar itu dari Allah.

Allah tidak  akan memungkiri janjiNya tetapi kebanyakan manusia tidak

mengetahui. Banyak lagi

kisah yang seumpama ini seperti kemenangan yang bakal dicapai oleh orang

muslimin dan sebagainya untuk renungan dan menambah keyakinan tentang

mukjizat al-Quran dan kebenaran kenabian nabi Muhammad S.A.W dan agama

Islam yang dibawa oleh baginda S.A.W.



I’jaz ‘adadi (bilangan)

Kriteria ini menunjukkan

bagaimana Al-Quran telah memastikan bahawa ia merupakan merupakan

mukjizat dari sudut bilangan sama ada ayat, surah dan jumlah perkataan

yang tidak berubah dan kekal sehingga hari qiamat. Apabila adanya

golongan yang cuba menambah beberapa surah Al-Quran maka dengan

sendirinya kita dapat tahu bahawa ia adalah surah palsu kerana melebihi

jumlah surah Al-Quran yang sebenar iaitu 114 surah disamping

bertambahnya bilangan ayat dan jumlah kalimah.



Inilah serba ringkas perbincangan mengenai kriteria i’jazul Quran.

Semoga penerangan yang serba ringkas ini mampu memberi serba sedikit

maklumat mengenai kriteria penting bagaimana Al-Quran mampu melemahkan

musuh-musuhnya dari dahulu sehingga sekarang.

Rujukan



 1. Al-Bayan fi I’jazul Quran karangan Profesor Solah Al-Khalidi cetakan

Darul Qalam2. Al-I’jazul Quranul Karim karangan Profesor Fadhil ‘Abbas

dan anak perempuannya cetakan Darul Furqanhttp://lurim.blogspot.com/2011/12/al-quran-menundukan-pencabarnya.html

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my